Sebarang keputusan positif diraih Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi berdepan Sanfrecce Hiroshima bakal membawa 1001 hal positif dalam perjalanan pasukan Harimau Selatan ini di pentas AFC Champions League Elite (ACLE) khususnya.
Fokus peminat bola sepak tempatan bakal tertumpu kepada aksi Sanfrecce Hiroshima vs JDT yang bakal menjadi suatu pertembungan penting dalam menentukan kedudukan carta ACLE.
Kedudukan terkini menyaksikan Sanfrecce Hiroshima berada di tangga ke-3 sementara JDT menghuni tempat ke-6 untuk zon Timur, menjadikan wakil Jepun itu selaku pasukan pilihan bagi aksi ini.
Walau bagaimanapun, bukan perkara yang mustahil buat JDT untuk melakar kejutan di bumi Jepun ini meskipun tugas getir bakal menanti anak-anak buah Xisco Munoz pada pertemuan kali ini.
Satu mata dilihat sebagai satu keputusan yang cukup positif buat JDT lebih-lebih lagi pasukan lawan bakal turun dengan status hebat dan miliki kelebihan bermain di laman keramat mereka.
Sekiranya JDT mampu mengikat atau mungkin menewaskan Sanfrecce Hiroshima ini, perkara utama bakal berlaku adalah perubahan dalam carta ACLE bagi skuad Harimau Selatan.
JDT yang kini mengutip 8 mata akan melonjak ke tangga ke-4 maksimum seandainya berjaya mencatatkan kemenangan atau mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 8 terbaik jika seri.
Malah, 3 mata akan menamatkan badi tanpa kemenangan JDT ke atas kelab dari Jepun selepas kali terakhir mereka menang adalah pada tahun 2019 lalu ketika menumbangkan Kashima Antlers 1-0.
Manakala, keputusan seri akan meneruskan rekod cemerlang JDT apabila bertemu wakil dari negara Matahari Terbit musim ini selepas terikat seri tanpa jaringan ketika perlawanan ACLE September lalu.
Rekod tanpa tewas JDT di musim ini turut bakal berterusan dalam kesemua kejohanan seandainya berhasil menang atau seri apabila beraksi di hadapan peminat Sanfrecce Hiroshima malam ini.
Ketika ini, JDT merekodkan 13 perlawanan tanpa kalah dalam kesemua kejohanan pada musim ini setelah kali terakhir kalah di tangan Melbourne City 2-0 dalam perlawanan ACLE pada bulan November lalu.
Perlawanan Sanfrecce Hiroshima vs JDT akan berlangsung hari ini di Edion Peace Wing Hiroshima dengan sepak mula tepat jam 6 petang waktu Malaysia.