Jika JDT Singkirkan Buriram United, 3 Rekod Bakal Terlakar
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang membuka lembaran rekod baharu sekiranya berhasil menumbangkan Buriram United dalam aksi separuh akhir kedua ACC Shopee Cup.

Pertemuan antara Buriram United vs JDT pada Rabu bakal menentukan kelab yang akan mara ke pentas final Shopee Cup, sekali gus menghangatkan derbi tumpuan ASEAN ini.

Berdasarkan situasi semasa, Buriram United dilihat memiliki kelebihan agregat hasil kemenangan 3-1 ke atas JDT dalam perlawanan timbal balik pertama di Johor pada minggu lalu.

Sungguhpun begitu, JDT masih berpeluang untuk menebus kekalahan itu dalam aksi kedua ini bagi membalikkan defisit agregat dan melangkah ke pentas akhir Shopee Cup musim 2025-2026.

Jika senario itu berlaku, JDT bakal melakar tiga rekod baharu serentak selain mencipta lembaran sejarah baharu buat kelab dan kejohanan Shopee Cup ini.

1- Kemenangan Sulung JDT Ke Atas Buriram United.

JDT masih belum merekodkan sebarang kemenangan dalam 5 pertemuan dengan Buriram United dengan dua keputusan seri serta 3 kekalahan dialami oleh pasukan Harimau Selatan ini.

Sekiranya JDT berjaya menewaskan Buriram United, ini bakal menjadi kemenangan sulung buat wakil negara dalam sejarah pertemuan kedua-dua kelab gergasi di rantau Asia Tenggara ini.

2- Layak Ke Final ACC Shopee Cup Buat Kali Pertama Dalam Sejarah Kelab

Semua sedia maklum, ini merupakan penampilan pertama JDT di pentas Shopee Cup setelah kejohanan ini diberikan nafas baharu dengan penjenamaan semula bermula musim 2024-2025 lalu.

Oleh itu, JDT berpeluang untuk melakar sejarah layak ke pentas final buat julung kalinya jika berjaya mencatatkan kemenangan dan menyingkirkan Buriram United di separuh akhir malam ini.

3- Menamatkan Kemarau 21 Tahun Wakil Malaysia Ke Pentas Final Kejohanan Kelab ASEAN

Kali terakhir wakil Malaysia berjaya layak ke final kejohanan kelab ASEAN adalah Pahang FA pada tahun 2005 lalu, dan JDT berpeluang mengakhiri penantian tersebut jika berjaya singkirkan Buriram United.

Selain JDT, Selangor turut miliki peluang yang sama apabila bakal bertemu Nam Dinh dalam satu lagi aksi separuh akhir sekaligus membuka ruang buat dua kelab Malaysia berentap di final nanti.

Aksi Buriram United vs JDT bakal berlangsung pada Rabu, 13 Mei di Chang Arena dengan sepak mula dijadualkan jam 8.00 malam waktu Malaysia.