Jodoh penyerang England, Marcus Rashford bersama Manchester United bakal berakhir.
Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano memaklumkan penyerang berusia 27 tahun itu bakal memuktamadkan perpindahan pinjamannya ke Aston Villa.
Sekiranya Rashford menyerlah di Villa Park, penyerang England itu bakal menyertai The Villains secara tetap dengan yuran perpindahan £40 juta (RM220 juta).
Ini kerana United dan Villa bersetuju menyertakan klausa perpindahan tetap dalam kontrak pinjaman Rashford. Graduan akademi United itu akan menyertai Villa dengan kontrak selama tiga tahun.
Rashford bakal menjalani ujian perubatan sebelum perpindahannya dimuktamadkan oleh kedua-dua kelab. Villa turut bersetuju membayar 70% gaji beliau sepanjang tempohnya di Villa Park.
Rashford bakal menyertai Antony, Ethan Wheatley dan Dan Gore yang meninggalkan Old Trafford secara pinjaman.
Perpindahan Rashford membuka ruang buat pengurus United, Ruben Amorim untuk mendapatkan penyerang Bayern Munich, Mathys Tel secara pinjaman sehingga akhir musim.
Sebelumnya, Tel menolak tawaran perpindahan yang dikemukakan Tottenham Hotspur. Ini meletakkan United dan Arsenal sebagai pasukan yang tinggal untuk mendapatkan penyerang berusia 19 tahun itu.
Rashford bukan satu-satunya perpindahan pinjaman yang diusahakan pengurus Villa, Unai Emery. Ini kerana beliau turut memburu pemain sayap Sepanyol, Marco Asencio.
Asencio dijangka menyertai Rashford di Villa Park selepas bersetuju menyertai Villa secara pinjaman. Seperti Rashford, bekas pemain sayap Real Madrid itu bakal menjalani ujian perubatan sebelum perpindahannya dimuktamadkan.