Pemain sayap Manchester United, Antony bakal menyertai kelab La Liga, Real Betis.
Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano memaklumkan pemain sayap berusia 24 tahun itu akan melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke Stadium Benito Villamarin.
Antony akan kekal bersama Los Verdiblancos sehingga akhir musim 2024/25. Romano turut memaklumkan perpindahan ini tidak mengandungi klausa perpindahan tetap.
Ini bermakna Antony akan kembali ke Old Trafford pada akhir musim dan bersedia untuk kempen pra-musim 2025/26.
Perpindahan ini dijangka membantu pemain sayap Brazil itu mendapatkan minit permainan yang lebih kerap bersama pasukan yang dibimbing Manuel Pellegrini itu.
Musim 2024/25 menyaksikan Antony hanya menjaringkan satu gol daripada 14 perlawanan dalam semua kejohanan.
Gol tersebut dicatatkan dalam aksi Carabao Cup di mana United membelasah Barnsley 7-0. Ini sama sekali berbeza dengan lapan dan tiga gol yang dicatatkan pada musim 2022/23 dan 2023/24.
Antony dijangka bukan satu-satunya pemain United yang meninggalkan Old Trafford. Ini kerana pengurusan The Red Devils bersedia melepaskan Marcus Rashford, Christian Eriksen, Victor Lindelof dan Casemiro.
Penjualan dijangka membantu jurulatih United, Ruben Amorim untuk mendapatkan pemain baharu bagi mengharungi baki musim 2024/25. Pasukan itu tewas lagi buat kali ke-10 dalam liga apabila tumbang 3-1 kepada Brighton.