Johor Jewels Umum Ketibaan Tilly McDonell
UltraSukan
Johor Jewels

Bintang bola jaring Australia, Matilda “Tilly” Mcdonell sah memperkuat cabaran Johor Jewels untuk saingan Netball Super League (NSL) Regional Cup.

Perpindahan bintang berusia 25 tahun itu diumumkan pengurusan Johor Jewels menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi pasukan itu.

“Matilda “Tilly” McDonell menyertai pasukan untuk saingan CelcomDigi NSL Regional Cup 2026. Kami amat teruja dengan pengembaraan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Perpindahan McDonell mula dihidu peminat bola jaring negara selepas pengurusan pasukan memberi bayangan seorang pemain baharu tiba sebagai pengganti legenda New Zealand, Laura Langman.

Meskipun Johor Jewels tidak mendedahkan identiti pemain berkenaan, wajah bekas pemain Giants Netball itu terpampang pada huruf pengumuman berkenaan.

Perpindahan ini dilihat satu kejutan kerana McDonell sebelum ini mengumumkan bakal bersara pada Mac lalu. Ini berdasarkan pengumuman yang disiarkan di laman sesawang Giants Netball.

Kehadiran McDonell dijangka memantapkan pertahanan Johor Jewels. Beliau bakal bergandingan dengan rakan senegara dan bekas bintang Queensland Firebirds, Gretel Bueta.

Bueta menjadi sebahagian daripada skuad Johor Jewels yang bergelar naib juara NSL musim ini. Saingan NSL Regional Cup bakal berlangsung dari 14 hingga 17 Mei ini.