Legenda bola jaring New Zealand, Laura Langman sah meninggalkan pasukan Johor Jewels.
Perkara ini disahkan pengurusan pasukan itu menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.
Johor Jewels menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Langman atas jasanya sepanjang bersama pasukan selatan tanah air itu.
“Terima kasih, Laura Langman, atas dedikasi, semangat, dan kepimpinan anda yang luar biasa sepanjang perjalanan anda bersama Johor Jewels.
“Terima kasih untuk setiap saat, setiap pertarungan di gelanggang, setiap pengajaran dan setiap kenangan yang anda cipta bersama pasukan ini. Kehadiran anda membawa banyak inspirasi, bukan sahaja kepada para pemain tetapi kepada semua orang yang menyokong dari belakang tabir dan di tempat duduk penonton.
“Anda memberikan hati anda kepada kelab ini, dan itu akan sentiasa bermakna sesuatu yang istimewa kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Langman kemudiannya menzahirkan penghargaan kepada Johor Jewels kerana memberi kepercayaan kepada beliau sepanjang beraksi bersama pasukan itu.
“Terima kasih kerana memberi kepercayaan dan menerima saya (menjadi sebahagian daripada pasukan).
“Saya rasa bertuah kerana menjadi sebahagian daripada bahagian kecil perjalanan (Johor) Jewels,” katanya di ruang komen Instagram.
Pengumuman ini menyaksikan hanya Gretel Bueta yang akan membantu Johor Jewels mengharungi Netball Super League (NSL) Regional Cup.
Langman membantu Johor Jewels mara ke final NSL musim 2026 sebelum tewas kepada penyandang juara, Terengganu Marvels.
Impak beliau turut diiktiraf NSL apabila dipilih sebagai Pemain Import Terbaik kejohanan itu.