Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) mencipta sejarah dalam Perlumbaan 24 Jam Le Mans baru-baru ini.
Meskipun menamatkan saingan di tempat ke-14, ia masih satu pencapaian hebat buat JMR. Ini kerana pasukan itu berjaya menamatkan perlumbaan dalam penampilan pertama mereka.
JMR yang diwakili YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Ben Green dan Lorcan Hanafin mengemudi jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R untuk tiba di tempat ke-14 kelas LMGT3.
Saingan kelas LMGT3 menyaksikan hampir satu pertiga pasukan gagal menamatkan perlumbaan ketahanan selama 24 jam itu.
Bermula dari kedudukan ke-24, JMR berjaya mempamerkan prestasi kompetitif apabila beberapa kali berada dalam kelompok lima terbaik. Ini berlaku hasil pemanduan cemerlang dan strategi pit yang berkesan.
Walau bagaimanapun, cabaran teknikal menyebabkan JMR kehilangan empat pusingan. Pasukan itu berjaya mengejar sebelum terpaksa berpuas hati di tempat ke-14.
Meskipun begitu, Tunku Abdul Rahman tetap berbangga dengan cabaran yang ditampilkan JMR sepanjang perlumbaan berlangsung.
“Ini adalah perlumbaan terbesar di dunia – terdapat 350,000 orang di sini dan ia merupakan pengalaman yang menakjubkan untuk menjadi sebahagian daripadanya. Pasukan ini telah melakukan tugas yang luar biasa dan saya sangat berbangga dengan mereka.
“Pada penampilan sulung kami, ia satu pencapaian untuk menamatkan perlumbaan dalam masa 24 jam. Kami mempunyai rentak yang hebat dalam kereta kami dan kami telah memberikan yang terbaik tetapi kami terpaksa membuat beberapa pembaikan pada kereta yang mengambil sedikit masa daripada saya untuk menyelesaikannya.
“Ini percubaan pertama kami dan kami tahu apa yang diharapkan selepas ini. Kami akan kembali dengan lebih kuat dan matlamat kami sekarang adalah untuk memenangi perlumbaan ini suatu hari nanti,” katanya.
Kini, JMR mengalihkan fokus kepada Perlumbaan CrowdStrike 24 Jam Spa di Spa-Francochamps, Belgium dalam tempoh dua minggu dari sekarang.