Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) bakal membuat penampilan pertama dalam perlumbaan berprestij 24 Jam Le Mans.
Perlumbaan berprestij itu antara perlumbaan-perlumbaan yang membentuk musim ikonik pasukan itu untuk tahun 2026. Selain Le Mans, JMR juga akan menyertai Perlumbaan 24 Jam CrowdStrike-Spa dan Suzuka 1000 Kilometer (km).
Saingan di Le Mans menyaksikan JMR bakal bekerjasama dengan TF Sport untuk berlumba menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R.
YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj ibni Sultan Ibrahim bakal membuat penampilan sulung dalam perlumbaan berkenaan. Turut sama membuat penampilan sulung ialah rakan sepasukan, Ben Green.
Pelumba berbakat dari England berusia 23 tahun, Lorcan Hanafin akan melengkapkan pasukan tiga pelumba itu bagi penampilan keduanya pada Le Mans. Tunku Abdul Rahman melihat penampilan di Le Mans sebagai peluang merealisasikan impian baginda sejak kecil lagi.
“Tahap perlumbaan yang kami sertai ketika ini adalah sesuatu yang saya bayangkan sejak memulakan kerjaya pada 2019. Justeru amat memuaskan apabila dapat mencapai sasaran dan matlamat yang telah ditetapkan.
“Selepas memperoleh pengalaman dan mencatat pelbagai kejayaan bersama Corvette tahun lepas, kami kini bersedia untuk bersaing dalam perlumbaan tahan lasak ikonik bertaraf utama.
“Saya memasang impian untuk beraksi pada Le Mans sejak mula berlumba tujuh tahun lepas dan saya tidak sabar untuk merasai pengalaman berlumba di litar yang begitu ikonik serta mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Meskipun dilabel perlumbaan menarik, Perlumbaan 24 Jam Le Mans tetap mencabar buat para pelumba. Ini kerana 62 kereta daripada tiga kategori akan berlumba tanpa henti di litar sepanjang 13.6km merangkumi jalan raya awam dan trek perlumbaan khas dengan kelajuan mencecah hampir 320km sejam.
Selain saingan di Le Mans dari 10 hingga 14 Jun ini, JMR kemudiannya mengalihkan fokus kepada Perlumbaan 24 Jam CrowdStrike-Spa yang akan berlangsung dari 24 hingga 28 Jun.
Perlumbaan di litar ikonik Spa-Francorchamps, Stavelot, Belgium itu menyaksikan empat pelumba membawa cabaran JMR. Selain Tunku Abdul Rahman dan Green, YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj ibni Sultan Ibrahim dan Jordan Love juga akan berlumba dalam perlumbaan tersebut.
Kemuncak musim ikonik JMR menyaksikan pasukan itu kembali ke Suzuka 1000km pada 11 hingga 13 September ini. Litar Suzuka, Jepun memberi kenangan manis buat pasukan itu apabila meraih podium pada 2025.
Tunku Abdul Rahman, Tunku Abu Bakar dan Green bakal membawa cabaran JMR dalam perlumbaan tersebut.