Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui faktor cuaca sejuk memberi cabaran kepada pasukan itu menjelang aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Gangwon FC.
Hal ini dinyatakan pengendali Singapura itu apabila ditanya cabaran yang dihadapi anak buahnya semasa berada di Korea Selatan.
Aidil mengakui cuaca sejuk sedikit sebanyak memberi cabaran kepada The Cats. Pada masa sama, beliau melihat adaptasi anak buahnya sebagai kunci jika ingin meraih keputusan positif.
“Gangwon seperti kita pasti tidak akan berpuas hati dengan keputusan dua aksi terakhir (ACL2). Kedua-dua pasukan akan berikan yang terbaik untuk memenangi perlawanan esok.
“Perkara paling penting sekarang ialah cuaca. Kuncinya ialah para pemain beradaptasi dengan cuaca sejuk ini. Yang tinggal kini adaptasi dalam latihan terakhir.
“Saya akan jaga para pemain bagi memastikan mereka dapat beradaptasi dengan cuaca ini sebaik mungkin,” katanya seperti dilaporkan Maeil Business.
Kuching City berharap dapat meraih kemenangan pertama dalam ACL2 selepas tewas sekali dan seri sekali.


