JAKARTA: Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui agak sukar untuk Malaysia berdepan Indonesia yang beraksi dengan 10 pemain dalam aksi Kumpulan A FIFA ASEAN Cup 2026.
Malaysia terpaksa berdepan benteng Indonesia yang lebih defensif selepas Thom Haye dilayangkan kad merah pada minit ke-36 susulan terjahan keras terhadap Arif Aiman Hanapi selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Kelebihan jumlah pemain menyaksikan Harimau Malaya meningkatkan tekanan pada separuh masa kedua, namun barisan pertahanan Indonesia berjaya mengekalkan kedudukan 0-0 sehingga wisel penamat.
Tan Cheng Hoe menyifatkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang tidak mudah kerana Indonesia mengubah pendekatan permainan selepas kehilangan seorang pemain.
“Sudah tentu pada separuh masa kedua, kami mengawal permainan dengan baik dan mencipta beberapa peluang,” komen Tan Cheng Hoe ketika sidang media pascaperlawanan.
“Kadangkala dalam bola sepak, agak sukar untuk bermain menentang 10 pemain kerana pasukan yang mempunyai 10 pemain akan mengubah pendekatan taktikal mereka, bermain lebih bertahan, bertahan secara lebih mendalam dan lebih banyak melakukan pertembungan fizikal.”
Pengendali berusia 58 tahun itu bagaimanapun berpuas hati dengan cara pemainnya terus tenang dan berusaha mengikut perancangan yang ditetapkan.
“Namun, saya tetap sangat gembira dengan pemain-pemain kami yang bermain mengikut cara yang kami mahukan, sangat tenang dan mempunyai beberapa peluang yang baik untuk menjaringkan gol.”
Harimau Malaya beberapa kali menguji benteng Indonesia pada babak kedua dan hampir memecah kebuntuan menerusi Fergus Tierney, namun percubaan penyerang tersebut sekadar melepasi palang gol.
Keputusan seri tanpa jaringan itu menyaksikan Malaysia mengumpul empat mata daripada dua perlawanan untuk terus menerajui Kumpulan A berdasarkan kelebihan jaringan.
Malaysia selepas ini akan menamatkan aksi Kumpulan A dengan menentang Singapura pada 1 Oktober bagi menentukan kedudukan mereka dalam kumpulan.