Johor Motorsports Racing (JMR) melancarkan jentera baharu mereka secara rasmi di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, Johor Bahru pada 7 April lalu.
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis pelancaran jentera baharu JMR itu.
Turut berangkat YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan DYAM Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor.
Berangkat sama YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim dan suami, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
JMR bakal menggunakan jentera baharu Corvette Z06 GT3.R keluaran Chevrolet bagi menghadapi cabaran musim 2025.
Ini selepas JMR menjalin kerjasama dengan pembuat kereta terkemuka dari Amerika Syarikat itu sebagai rakan teknikal baharu pasukan menggantikan Mercedes.
Ini menjadikan JMR sebagai pasukan pertama di rantau Asia Tenggara yang menggunakan jentera Chevrolet.
Sejak membuat penampilan pertama dalam arena permotoran pada 2019, pasukan itu bukan saja bergelar juara sebanyak tiga kali. Malah, JMR juga meraih kedudukan podium sebanyak 53 kali.
Tahun 2025 menyaksikan JMR akan bersaing dalam GT World Challenge Asia, International GT Open dan Intercontinental GT Challenge.
Saingan Intercontinental GT Challenge bakal menampilkan beberapa perlumbaan terkenal seperti Crowdstrike 24 Hours of Spa di Spa-Francorchamps, Belgium dan Suzuka 1000KM Jepun di Suzuka, Jepun.