Johor Motorsports Racing (JMR) meneruskan rentak cemerlang musim 2025 apabila meraih kemenangan kedua dalam kategori Pro-Am di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.
Ini selepas gandingan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan Ben Green mengungguli perlumbaan kedua GT World Challenge Asia.
JMR berharap dapat meneruskan rentak cemerlang dalam perlumbaan pertama pada 31 Mei lalu. Perlumbaan itu menyaksikan JMR meraih tempat kedua menerusi Tunku Abdul Rahman dan Green.
Mereka terpaksa akur dengan kehebatan gandingan dari Origine Motosports, Wei Lu dan Bastian Buus meskipun memulakan perlumbaan di petak pertama.
Kekecewaan itu berjaya ditebus JMR dalam perlumbaan kedua. Selain berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama, JMR turut merekodkan catatan masa sepusingan terpantas 1 minit (m) 34.670 saat (s).
Kejayaan ini menyaksikan Tunku Abdul Rahman menerajui kategori Pro-Am dengan 75 mata. Baginda memiliki kelebihan sembilan mata berbanding pencabar terdekat dari Phantom Global Racing, Anthony Liu dan Dorian Boccolacci.
Gandingan Ruan Cunfan dan Maxime Oosten dari Team KRC pula melengkapkan kelompok tiga teratas dengan 69 mata. Meskipun berkongsi mata sama dengan Liu dan Boccolacci, duo tersebut memiliki rekod lebih baik berbanding Team KRC.
Ini kemenangan kedua JMR selepas berjaya melakukannya di Litar Antarabangsa Sepang pada April lalu.
Selepas ini, saingan GT World Challenge Asia akan diteruskan di Fuji International Speedway, Jepun dari 11 hingga 13 Julai ini.