Skuad bola sepak Johor Bawah 17 Tahun (B-17) mengikut jejak langkah skuad Johor B-15 apabila bergelar juara kategori B-18 Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Kejayaan ini dilakar dengan menewaskan pasukan Pahang di pentas final yang diadakan di Stadium Educity, Iskandar Puteri.
Johor membawa misi mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada edisi 2023. Manakala Pahang pula berharap dapat bergelar juara kategori B-18 di bumi Johor.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal untuk mendahului perlawanan.
Johor memberi amaran kepada Pahang apabila Abid Safaraz Rozaidi meledakkan gol pada minit ke-16. Walau bagaimanapun, gol tersebut tidak dikira kerana Abid Safaraz dikesan berada pada kedudukan ofsaid.
Tersentak, Pahang mula mengatur rentak untuk menembusi gawang Johor yang dikawal Naqqiudin Zamzuri.
Percubaan terbaik mereka hadir pada minit ke-40 apabila sepakan deras pemain Pahang pantas dinafikan Naqqiudin. Kecekapan penjaga gol berusia 16 tahun itu memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Johor terus meningkatkan tekanan ke atas gawang Pahang. Kelalaian pertahanan Pahang mengawal bola pantas dihukum Johor dengan Abid Safaraz mudah menewaskan Adam pada minit ke-48.
Keceriaan kem Johor tidak bertahan lama apabila Pahang kembali menyamakan kedudukan tiga minit selepas itu.
Adam Yahya mengambil kesempatan daripada situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Johor untuk menyumbat gol keempatnya dalam kejohanan.
Azmer Masri Ahmad hampir kembali meletakkan Johor di hadapan pada minit ke-60 menerusi sepakan deras dari luar kotak penalti. Malangnya, percubaannya ke arah gol Pahang sedikit tersasar.
Azmer Masri terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Pahang. Hantaran lintangnya pada minit ke-69 berjaya disekat penjaga gol Pahang, Fakhrul Naim Mohd Fauzie sebelum sampai ke kaki Abid Safaraz.
Selepas 80 minit, kedua-dua pasukan masih terikat 1-1. Keadaan ini memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti untuk menentukan pemenang.
Naqqiudin muncul wira dengan menafikan penalti terakhir Pahang. Ini memastikan Johor mengatasi Pahang dengan keputusan 5-4.
Ini sekaligus memastikan gelaran juara B-18 MSSM kekal milik Johor buat tahun ketiga berturut-turut.