Skuad bola sepak Johor Bawah 15 Tahun (B-15) unggul mempertahankan kejuaraan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) untuk kategori B-15.
Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan pasukan Majlis Sukan Sekolah Negeri Perak (MSSP) 2-1 di pentas final yang diadakan di Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah.
Johor selaku juara bertahan mahu mempertahankan gelaran juara yang diraih pada 2023. Sementara Perak pula berharap dapat merampas mahkota kejuaraan dari pasukan selatan tanah air itu.
Hasrat itu terserlah apabila mereka mendahului tuan rumah pada minit ke-21 menerusi Afief Dannish Mohd Faisal.
Tersentak, Johor mula menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan. Hasilnya, Ahmad Afi Mirza Ahmad Salkin memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat menerusi gol pada minit akhir babak pertama.
Bersambung pada babak kedua, Johor terus menggandakan asakan ke atas kubu Perak untuk memburu gol kemenangan.
Hasilnya, tonggak skuad Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17), Arayyan Hakeem Norizam meledakkan gol kemenangan pada minit ke-41.
Perak berusaha untuk menyamakan kedudukan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan ini menebus kehampaan Johor selepas melihat impian bergelar juara kategori B-12 disekat Selangor dalam aksi final MSSM B-12.
Satu lagi aksi final membabitkan kategori B-18 bakal berlangsung pada malam ini. Final ini mempertemukan Johor dengan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP).