Johor Darul Ta’zim (JDT) III muncul juara Piala Presiden buat kali keenam.
Pencapaian itu dikongsikan pengurusan Harimau Selatan menerusi satu kenyataan di platform Johor Southern Tigers.
Pencapaian ini cukup bermakna kerana JDT III telah menjulang gelaran juara Piala Presiden buat tahun kelima berturut-turut.
“Skuad Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim III (JDT III) muncul juara Piala Presiden lima tahun berturut-turut susulan kejayaan menewaskan Terengganu FC U-20 yang menduduki tangga kedua dengan keputusan 2-1 sekaligus mengumpul 49 mata dengan kelebihan 13 mata dan berbaki tiga lagi perlawanan,” kata kelab dalam satu kenyataan.
JDT III muncul juara dengan baki tiga perlawanan. JDT III mengumpul 49 mata, jauh meninggalkan Terengganu B-20 yang meraih 36 mata.
Anak buah Pedro Cellado Celda akan melengkapkan kempen musim 2026 dengan menentang Selangor FC pada 10 November.
Ini disusuli dengan perlawanan menentang MISC-Touchtronics FC (14 November) dan Kuching City FC (21 November).
Terdahulu, JDT III turut mengharumkan nama Johor apabila menggondol pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 pada Ogos lalu.

