JDT Benam Akar Umbi Selangor, Rangkul Dua Kejuaraan MSSM
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mempamerkan kecemerlangan di peringkat akar umbi apabila merangkul dua kejuaraan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 untuk acara bola sepak.

JDT meraih kejuaraan untuk kategori Bawah 12 Tahun (B-12) dan Bawah 15 Tahun (B-15). Lebih menarik, JDT turut mengecewakan Selangor di pentas final.

Skuad JDT B-12 ceria apabila menewaskan Selangor 2-1 di pentas final. Usaha skuad Selangor B-15 menebus kekecewaan skuad B-12 musnah apabila tewas 2-0 kepada lawan sama di peringkat akhir.

Pencapaian terbaru skuad muda JDT dikongsikan pengurusan kelab itu menerusi satu hantaran di semua platform rasmi Johor Southern Tigers.

Pencapaian ini bukan saja menunjukkan akar umbi pasukan itu mempamerkan kecemerlangan sama seperti skuad senior Harimau Selatan yang dibimbing Xisco Munoz.

Malah, hal ini menonjolkan pelaburan jangka panjang JDT untuk program pembangunan akar umbi terus membuahkan hasil saban tahun. Perkara ini turut diakui Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.

“Kejayaan dan dominasi yang dicapai oleh Akademi JDT menjadi bukti bahawa program pembangunan jangka panjang yang kita laksanakan adalah kukuh dan berada di landasan yang tepat. Inilah sesuatu yang dimahukan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sejak tahun-tahun awal penubuhan JDT,” katanya.

“Sudah tentu terdapat proses percubaan dan kesilapan pada tahun-tahun awal kerana kami merupakan sebuah kelab baharu yang sedang berusaha membina asas yang kukuh, namun kerjasama dengan kelab-kelab yang mempunyai reputasi kukuh seperti Borussia Dortmund dan Valencia pada masa lalu telah membantu membawa kami ke landasan yang tepat dan pada hari ini, kami merupakan akademi bola sepak terkemuka di negara ini dengan kejayaan daripada peringkat Bawah-12 tahun sehinggalah ke kumpulan umur yang lebih tinggi.”

Ini bukan kali pertama Selangor dikecewakan JDT di pentas final untuk pertandingan akar umbi. Sebelum ini, Selangor terpaksa menelan kepahitan apabila JDT meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.