Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Danny Firas Musleyadi mengakui merasa gementar sebelum membantu pasukannya muncul juara Seoul Hechi Cup U-15 Championship baru-baru ini.
Meskipun begitu, dia mengetepikan perasaan tersebut bagi memastikan JDT Bawah 15 Tahun (B-15) muncul juara di bumi Korea Selatan.
“Pada permainan ini, perasaan saya berdebar juga. Sebelum masuk padang, saya fikir nak menang sebelum permainan ini.
“Saya juga berfikir tentang kawan-kawan saya dan persembahan mereka. Saya berfikir sepenuhnya tentang pasukan untuk menang.
“Perasaan itu semua ada tapi saya pilih untuk lawan kerana saya pun nak habiskan permainan ini dengan kemenangan yang menyeronokkan,” katanya dalam satu video Seoul FA.
Danny Firas yang juga tonggak skuad Malaysia B-15 turut dipilih sebagai pemain paling bernilai (MVP) kejohanan.
JDT B-15 muncul juara dengan mengalahkan Seoul FA B-15 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
Sebelum ini, nama pasukan itu turut menjadi sebutan menerusi jaringan persis roket seorang lagi tonggak Malaysia B-15, Armin Haikal Hazim.


