Liga Super: Star City Akhirnya Menang, Tewaskan Kelantan RW
MakanBola
Star City FC

Star City FC mencuri tiga mata penuh selepas menewaskan tuan rumah Kelantan Red Warrior 5-2 dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat malam.

KRW bertekad bangkit daripada kekecewaan kekalahan 2-3 kepada Penang FA pada aksi liga lalu, sementara Star City FC mahu meneruskan momentum kemenangan selepas menewaskan Selangor 3-2 dalam Piala FA, biarpun keputusan itu gagal menghalang mereka daripada tersingkir secara agregat.

Irfan Bakti sekali lagi menyandarkan harapan kepada pemain berpengalaman, Faiz Nasir, bagi mengemudi jentera tengah KRW.

Di kem Star City FC pula, Mehmed Durakovic mempertaruhkan sentuhan kapten baharu, Endrick Dos Santos, untuk menguasai bahagian tengah pasukan.

Star City FC memecah kebuntuan pada minit ke-13 menerusi tandukan Azfar Fikri yang menyambut kemas bola lintang Endrick Dos Santos, dengan bantuan VAR mengesahkan jaringan tersebut selepas ia pada mulanya dibatalkan akibat kedudukan ofsaid.

Star City FC menambah kelebihan pada minit ke-45 menerusi tandukan Pedro Santos yang bijak memanfaatkan hantaran sepakan sudut Moses Atede untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Star City FC menamatkan babak pertama dengan cemerlang menerusi jaringan kedua Azfar Fikri yang mudah menyempurnakan hantaran Douglas Oliveira selepas berjaya melepaskan diri daripada kawalan pertahanan lawan menjadikan keputusan 3-0, Star City FC mendahului.

Kelantan Red Warrior memulakan babak kedua dengan lebih agresif dan berjaya memperoleh ganjaran pada minit ke-52 menerusi Mohd Faudzi yang tenang menyudahkan hantaran silang rakan sepasukan.

Pasukan pelawat terus menghukum kelekaan KRW apabila Azfar Fikri mencipta hatrik pada minit ke-60 hasil usaha individunya yang tidak mengenal erti putus asa, sebelum percubaan akhirnya berubah arah selepas terkena pertahanan lawan untuk menghadiahkan gol keempat Star City FC.

Kapten pasukan KRW, Arham Khusyairi mencetak gol kedua KRW pada minit ke-68 menerusi rembatan dari luar kotak penalti selepas memanfaatkan peluang yang dilepaskan oleh Musa Philip.

Irfan Bakti turut melakukan perubahan taktikal apabila memasukkan penyerang muda, Rizuan Muda, menggantikan Mazwan Che Mat bagi mencari jawapan lain di bahagian serangan KRW.


Star City FC mengakhiri malam gemilang mereka dengan gol kelima pada saat-saat terakhir apabila Ramon Machado tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan selepas Douglas Oliveira dijatuhkan dalam kotak penalti.

Tamat aksi di Stadium Sultan Muhammad IV di antara Kelantan Red Warrior dengan Star City FC, di mana tuan rumah terpaksa akur tewas 5-2 di tangan Star City FC.

Aksi seterusnya menyaksikan Star City FC kembali bertemu Selangor dalam saingan Liga Super pada 1 November, sementara KRW pula akan menghadapi cabaran Sabah FC pada 21 November.