Nama skuad muda Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi bualan peminat di media sosial.
Ini kerana pemain JDT Bawah 15 Tahun (B-15), Armin Haikal Hazim melakukan jaringan persis roket ketika menentang Seoul FA dalam saingan Seoul Hechi Cup U-15 Championship.
Selepas Seoul mendahului 1-0, JDT kembali menyamakan kedudukan menerusi percubaan deras Armin Haikal. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Menariknya, Armin Haikal ialah penyerang buat skuad Malaysia B-15 yang beraksi dalam saingan Piala Dunia B-15 2026 di Baku, Azerbaijan baru-baru ini.
Video gol tersebut dikongsikan SNE Sports. Lebih menarik, gol tersebut turut mendapat pujian bekas jurulatih Armin Haikal, Shazwan Wong.
Shazwan Wong yang aktif melatih pemain di peringkat akar umbi merasa bangga dengan prestasi yang ditampilkan pemain tersebut.
“Armin Haikal. Dari 6 tahun sehingga ke 12 tahun. Dari FCKL mengikut saya ke FC Setia Alam.
“Bulan lepas, Malaysia B-15, bulan ini pula beliau menjaringkan gol cantik untuk JDT lawan Seoul FA,” katanya di X.
JDT B-15 meneruskan rentak cemerlang di Korea Selatan dengan membelasah kelab Thailand, Lamphun Warriors 5-0.

