Kim Pan-gon Kongsi Status Terkini Faisal Halim
MakanBola
Selangor FC

Pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon memaklumkan proses pemulihan kapten dan pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim dijangka mengambil masa lebih lama.

Hal ini dinyatakan jurulatih Korea Selatan itu apabila ditanya tentang status terbaru Faisal. Sebelum ini, pemain sayap berusia 28 tahun itu mengalami kecederaan ketika bersama Harimau Malaya untuk kempen FIFA ASEAN Cup.

Kecederaan itu dialami selepas aksi kedua Kumpulan A antara Malaysia dan Indonesia. Susulan itu, Faisal terlepas aksi menentang Singapura dan aksi penentuan tempat ketiga menentang Vietnam.

Pan-gon mengakui situasi kecederaan yang dialami bekas pemain sayap Terengganu FC itu bukan sesuatu yang bagus. Pada masa sama, beliau berharap Faisal kembali pulih dan dapat bersama pasukan.

“Ya, ini bukan sesuatu yang bagus. Kita perlu ambil sedikit masa (dari segi proses pemulihan kecederaan Faisal). Saya rasa sedih.

“Tetapi perkara itu boleh berlaku. Beliau alami kecederaan ketika menjalani tugasan bersama skuad kebangsaan. Saya harap beliau dapat pulih secepat mungkin tetapi itu mungkin ambil masa,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Sekiranya Faisal perlu berehat lebih lama, ini membuka peluang buat A. Selvan, Vitor Pernambuco dan Aliff Izwan Yuslan untuk merebut slot di bahagian sayap.

Selangor mara ke separuh akhir Piala FA meskipun tewas 3-2 kepada Star City FC. The Red Giants mara dengan keputusan agregat 6-4.