Ads
Johor Umum Cuti Peristiwa Sempena Final Piala FA
Piala FA
Johor Southern Tigers

Sempena aksi final Piala FA 2024, kerajaan negeri Johor mengumumkan 25 Ogos ini sebagai cuti hari peristiwa.

Advertisements

Perkara ini diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Onn Ghazi menerusi satu hantaran di akaun X beliau. Pengumuman cuti hari peristiwa tersebut turut mendapat perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Advertisements

Onn Hafiz menyifatkan cuti hari peristiwa ini sebagai tanda penghargaan buat penyokong setia Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) untuk memeriahkan aksi final Piala FA 2024.

Advertisements
Advertisements

Aksi final Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 24 Ogos ini bakal menemukan Harimau Selatan selaku juara bertahan dengan juara Piala FA edisi 2009, Selangor FC.

Onn Hafiz percaya dengan sokongan padu penyokong, gelombang Merah Biru di SNBJ diharap membantu JDT mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak 2022.

Advertisements

Ini ditambah dengan hakikat jenama JDT telah mengangkat nama negeri Johor ke pentas antarabangsa. Selain menunjukkan prestasi membanggakan di atas padang, Harimau Selatan turut memperkenalkan nama Johor dengan menjalin kerjasama dengan pelbagai entiti terkemuka.

“Dengan prestasi membanggakan dan kesungguhan yang ditunjukkan pasukan JDT, saya menyeru seluruh Bangsa Johor untuk datang beramai-ramai pada Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi sama-sama memberi sorakan dan semangat sebagai ‘Pemain ke-12” JDT.

“Kita penuhkan lautan Merah Biru di Stadium Nasional Bukit Jalil. JDT telah memenangi Piala FA sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2016 dan dua kali berturut-turut pada tahun 2022 dan 2023.

“Insya-Allah Bangsa Johor, ayuh kita pastikan tahun ini JDT mempertahankan kejuaraan untuk mencipta rekod hatrik kemenangan Piala FA!” katanya.

Ini bukan kali pertama kerajaan negeri Johor mengumumkan cuti hari peristiwa bagi meraikan pencapaian JDT. Pada Disember 2023, kerajaan negeri mengumumkan 17 Disember sebagai cuti hari peristiwa.

Keputusan itu dibuat selepas JDT meraih gelaran juara Piala Malaysia 2023 dengan menewaskan wakil Pantai Timur, Terengganu FC.

Advertisements

Pencapaian ini memastikan JDT yang ketika itu dibimbing Tano Solari merangkul empat kejuaraan domestik buat tahun kedua berturut-turut.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram