Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memantapkan benteng pertahanan mereka dengan merekrut pemain Argentina, Jonathan Silva.
Perpindahan bek kiri berusia 31 tahun itu diumumkan Harimau Selatan menerusi satu video yang disiarkan di platform Johor Southern Tigers.
“Jonathan Silva merupakan penambahan terbaru kita untuk skuad 2025/26. Antara bekas pasukannya ialah Estudiantes, Sporting Lisbon, Boca Juniors, Leganes dan Getafe.
“Selamat datang ke Johor!” kata kelab dalam satu kenyataan ringkas.
Silva dibawa masuk untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain pertahanan kiri dari Brazil, Murilo Henrique.
Ini selepas Henrique menjadi sebahagian daripada 11 pemain yang mengucapkan selamat tinggal kepada JDT pada akhir musim 2024/25.
Silva pernah mewakili Argentina sebanyak dua kali di peringkat antarabangsa. Beliau juga cukup dikenali kerana meraih beberapa trofi dalam kariernya.
Antara trofi yang pernah dimenangi Silva ialah LaLiga2, Argentine Primera Division, Cypriot First Division, Portuguese Cup dan Portuguese League Cup.
Beliau dijangka bersaing dengan bek kiri Harimau Malaya, La’Vere Corbin Ong untuk merebut slot bek kiri.