Advertisement
Jordan Atasi Tentangan Sengit Vietnam B-23
Asia
MakanBola
Vietnam FF

Skuad Vietnam Bawah 23 Tahun (B-23) memberi tentangan sengit kepada Jordan sebelum tewas menerusi penentuan sepakan penalti.

Perlawanan persahabatan yang berlangsung pada awal pagi tadi dilihat medan persiapan bagi kedua-dua pasukan sebelum mengharungi Piala Asia B-23 2024 di Qatar.

Babak pertama menyaksikan skuad muda Pahlawan Bintang Emas berusaha menyekat jentera serangan Jordan dengan mengawal ketat pergerakan mereka.

Keadaan ini menyukarkan Al-Nashama untuk melancarkan serangan meskipun banyak mengawal pergerakan bola.

Meskipun ditekan pihak lawan, Vietnam hampir memecahkan kebuntuan menerusi penyerang Thanh Hoa, Vo Nguyen Hoang.

Malangnya, percubaan penyerang berusia 22 tahun itu berjaya dinafikan penjaga gol Jordan, Ahmad Juaidi. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, jurulatih interim Pahlawan Bintang Emas, Hoang Anh Tuan membuat 10 pertukaran untuk memberi peluang kepada pemain lain beraksi.

Percubaan terbaik Vietnam pada babak kedua hadir pada minit ke-61 menerusi penyerang Becamex Binh Duong, Bui Vi Hao tetapi tidak menepati sasaran.

Kedua-dua pasukan terus berusaha memburu gol kemenangan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Lantas, penentuan sepakan penalti dibuat bagi menentukan pemenang perlawanan. Pada akhirnya, Jordan menang dengan keputusan 4-3.

Perlawanan ini merupakan perlawanan pemanas badan terakhir Vietnam sebelum Piala Asia B-23 2024 bermula.

Pahlawan Bintang Emas berada dalam Kumpulan D bersama negara serantau Malaysia, Uzbekistan dan Kuwait.

Anak buah Anh Tuan bakal membuka kempen Kumpulan D dengan menentang Kuwait pada 17 April ini.