Jordan Menang Besar Ke Atas Oman
MakanBola
Jordan FA
Sponsors

Finalis Piala Asia 2024, Jordan bangkit dari kekalahan lalu dengan membelasah Oman dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia di gelanggang sendiri.

Setelah tumbang 0-2 di tangan Korea Selatan, Jordan turun melayani kunjungan Oman yang hadir dengan momentum cemerlang selepas mengaibkan Kuwait 4-0 tempoh hari.

Ad

Trio Selangor menjadi taruhan besar oleh pengendali Jordan, Jamal Sellami sementara Oman pula menurunkan gandingan Salaah Yahyaei dan Muhsen Ghassani di bahagian serangan.

Ad

Jordan jelas menguasai permainan dan berhasil membuka tirai jaringan menerusi Yazan Al Naimat yang menanduk hantaran bekas pemain Kedah, Mahmoud Al Mardi pada minit ke-25.

Ad

Seakan tersentak, Oman mula mengatur serangan menerusi gerakan Muhsen Ghassani dan Abdulrahman Mushaifiri akan tetapi pertahanan tuan rumah kekal utuh mengekang asakan pelawat.

Ad

Separuh masa pertama tamat, Jordan 1-0 Oman.

Ad

Kembali dari rehat, penyerang Selangor, Ali Olwan dengan tenang menyudahkan sepakan penalti di minit ke-49 setelah Yazan Al Naimat dikasari pertahanan Oman untuk gol kedua Jordan.

Lima minit berselang, Yazan Al Naimat sekali lagi mengukir nama selaku penjaring buat tuan rumah apabila menerima umpanan Ali Olwan sebelum menewaskan Ibrahim Mukhaini buat kali ke-3.

Pelawat yang dibimbing oleh Rasheed Al Yafai mula gelisah dan melakukan 5 pertukaran membabitkan empat pemain di jentera serangan dalam usaha mencari jaringan pertama.

Usaha Oman tampak gagal apabila Ali Olwan meledak gol di minit ke-87 setelah menggelecek dua pemain lawan sebelum melepaskan rembatan deras untuk jaringan keempat Jordan.

Aksi di Stadium Antarabangsa Amman berakhir dengan keputusan 4-0 memihak Jordan.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Jordan bakal terbang ke Basra untuk bertemu Iraq manakala Oman pula akan menanti kunjungan Palestine di Muscat pada 15 November hadapan.