Kedah Darul Aman membawa berita gembira buat para peminat apabila menawarkan potongan harga bagi pas bermusim 2024.
Menerusi satu hantaran di media sosial rasmi kelab, Kedah mengumumkan potongan harga hampir 50% untuk kesemua empat pas bermusim yang dijual di awal musim tempoh hari.
Pas bermusim dengan harga baharu ini boleh diakses untuk 7 perlawanan pasukan Kedah di Stadium Darul Aman dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
Bagi pas Platinum yang berharga RM480 sebelum ini telah dikurangkan kepada RM240 manakala harga baharu bagi pas Grandstand adalah RM190.
Pas Pavilion dan Teres turut ditawarkan potongan separuh harga dengan masing-masing dijual pada harga RM125 dan RM75 berbanding harga terdahulu.
Para peminat setia Kedah Darul Aman boleh mendapatkan promosi pas bermusim ini bermula Khamis, 10 Oktober di pautan yang disediakan di media sosial rasmi kelab.
Aksi seterusnya bagi skuad Kenari di laman sendiri adalah pada 19 Oktober ini dengan melayani kunjungan jaguh dari Pantai Timur, Terengganu.