Finalis Piala Asia, Jordan bakal turun tanpa kelibat Musa Al-Taamari menentang Palestin esok.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Jurulatih Jordan, Jamal Sallami selepas pemain itu mengalami kecederaan menentang Kuwait.
Tonggak berusia 27 tahun itu dikeluarkan pertengahan babak kedua selepas mengalami kecederaan sekaligus menyebabkan persiapan pasukan terpaksa diubah.
“Semua pemain Jordan berada dalam keadaan baik. Kita sudah pun menjalani latihan dua kali sejak tiba di Malaysia namun tidak dapat menurunkan khidmat Musa Al-Taamari.
“Beliau mengalami kecederaan ketika menentang Kuwait dan kita sudah mengenal pasti pengganti sesuai pada posisinya,” jelasnya semasa pra-perlawanan di Cheras, hari ini.
Jamal bagaimanapun memaklumkan bahawa beliau tidak akan melakukan perubahan besar-besaran susulan pemain lain berada dalam keadaan bersedia.
“Walau hagaimanapun, pemain lain berada dalam keadaan baik setakat ini dan saya tidak bercadang untuk melakukan rombakan,” tambahnya.
Beliau juga menganggap anak buahnya belajar banyak perkara menentang Kuwait dan mahu memperbaikinya pada aksi menentang Palestin.
Aksi Palestin vs Jordan akan berlangsung pada 10 September di Stadium Cheras, Kuala Lumpur jam 9 malam.