Pengendali Palestin, Makram Dabboub optimis untuk memberikan masalah kepada Jordan menjelang aksi di Cheras.
Palestin meraih keputusan positif berdepan jaguh Asia, Korea Selatan pada aksi pembukaan dengan keputusan 0-0.
Jordan pula dikejutkan dengan keputusan seri menentang pasukan ke-136 dunia, Kuwait dengan keputusan 1-1 di laman sendiri.
Pengendali berpengalaman itu bagaimanapun optimis anak buahnya bakal turun memberikan aksi terbaik di Kuala Lumpur.
“Kami melakukan persiapan terbaik terutamanya selepas berjaya mengikat Korea Selatan. Sungguhpun terdapat pemain yang melapor diri lewat, kami berusaha sebaik mungkin untuk membentu keserasian di atas padang.
“Palestin amat menghormati Jordan yang juga finalis Piala Asia 2023 namun kita akan cuba melakukan yang terbaik untuk perlawanan ini,” jelasnya ketika ditemui di Cheras, hari ini.
Beliau bagaimanapun menyedari cabaran sukar dari finalis Piala Asia itu yang turut memburu 3 mata pertama peringkat kumpulan.
“Saya percaya semua pasukan ada peluang untuk mara. Misi kami adalah untuk menghuni kelompok 4 terbaik kumpulan,” tambahnya.
Aksi antara Palestin vs Jordan bakal berlangsung di Stadium Cheras, 10 September jam 9 malam.