Bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat akhirnya diperkenalkan selaku pemain baharu kelab Indonesia, Persija Jakarta.
Menerusi sebuah kiriman video di laman media sosial Persija, kelibat Jordi Amat telah diumumkan sebagai tonggak baharu Macan Kemayoran sekaligus menjadi nadi utama pasukan di musim akan datang.
”Jordi Amat datang menyahut panggilan,” umum Persija Jakarta dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab.
“Jakarta menyambut Jordi Amat dengan sorakan penuh kegembiraan.”
“Kehadirannya bukan sekadar bagi mengisi posisi di benteng pertahanan tetapi ia menjadi tunjang utama dalam membina kisah Macan Kemayoran untuk setahun mendatang.
Kehadiran Jordi Amat yang berusia 34 tahun ini menyaksikan bekas kapten JDT ini mengambil keputusan untuk pulang ke Indonesia, bukannya berhijrah ke Sepanyol seperti dilaporkan sebelum ini.
Terdahulu, Jordi Amat antara 11 pemain yang berpisah dengan JDT setelah merekodkan 66 penampilan dengan 3 gol dan 6 bantuan jaringan selama 3 musim bersama skuad Harimau Selatan itu.