Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat menegaskan ada kekuatan sebenar Shandong Taishan yang JDT perlu atasi sebelum aksi kedua-dua pasukan bagi pentas Asian Champions League Elite (ACLE).
Pemain antarabangsa Indonesia itu melihat Shandong acap kali menggunakan pendekatan hantaran-hantaran jauh untuk mengatur serangan dan perkara tersebut dalam pemerhatian barisan kejurulatihan dan pemain JDT.
“Bermain di gelanggang lawan selalunya akan menjadi kesukaran namun segalanya sudah dipersiapkan. Mereka (Shandong) selalu bermain dengan hantaran-hantaran jauh. Kami sedang bekerja keras untuk itu.
“Adalah penting buat kami untuk mendapatkan bola kedua untuk mencipta peluang menjaringkan gol. Saya menunggu perlawanan esok (malam ini),” jelas Jordi Amat dalam sidang media pra perlawanan.
JDT kini berada di tangga keempat ACLE dengan mengumpul 7 mata selepas mengharungi 4 perlawanan setakat ini.
Berbeza dengan Shandong Taishan yang kini menghuni tangga ke-9 Kumpulan A ACLE selepas hanya memungut 4 mata selepas 4 perlawanan.
Shandong sudah pastinya mahu bangkit segera lebih-lebih lagi mereka baru sahaja mencatatkan kekalahan dalam aksi final Piala FA China kepada Shanghai Port FC dengan keputusan 1-3 pada Sabtu lalu.