Pengendali skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19), Juan Torres Garrido berharap lebih banyak kelab memiliki akademi bola sepak mereka sendiri.
Pengumuman skuad negara B-19 baru-baru ini menyaksikan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Selangor membentuk majoriti pemain. JDT memiliki 12 wakil diketuai penjaga gol, Haziq Aiman Mohd Esa.
Sementara kontinjen Selangor pula diketuai bintang muda Merah Kuning yang menyertai FC Osaka secara pinjaman, Muhammad Abu Khalil. Manakala Terengganu FC, Sabah FC dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) masing-masing menghantar tiga dan dua pemain.
Hanya Perak FC memiliki satu wakil iaitu pemain pertahanan, Moses Raj a/l Michel Dass. Kesemua 28 pemain ini sudah menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya B-19 yang bermula sejak 7 Julai lalu.
Garrido menyifatkan kehadiran pemain-pemain lain dari pasukan selain AMD banyak membantu. Ini kerana ini menunjukkan kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) mengambil serius pembangunan pemain muda.
Hal ini membuatkan pengendali Sepanyol itu berharap lebih banyak kelab dapat mewujudkan program pembangunan pemain remaja. Ini kerana inisiatif ini bakal menguntungkan pasukan dan negara untuk jangka masa panjang.
“Amat penting. Apabila merujuk kepada pembangunan pemain remaja, saya banyak fikir tentang AMD. Tetapi sekarang, dalam beberapa tahun terakhir, JDT telah membangunkan ramai pemain berbakat.
“Saya berharap lebih banyak kelab melakukannya. Sudah tentu ini memerlukan pelaburan tetapi itu amat penting. Sekarang, dua kelab ini (JDT dan Selangor) cukup dominan.
“Tetapi cukup bagus selain projek AMD di mana kelab-kelab membangunkan program pembangunan pemain remaja mereka,” katanya kepada media di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Skuad Malaysia B-19 bakal bersaing dalam Kejuaraan ASEAN B-19 2024 yang bakal berlangsung di Surabaya, Indonesia dari 17 hingga 29 Julai ini. Skuad negara berada dalam Kumpulan C bersama Brunei, Singapura dan Thailand.