Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melihat sasaran jumlah keseluruhan pingat lebih utama berbanding warna pingat untuk temasya Sukan SEA 2025.
Perkara ini dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat di Parlimen pada 5 Februari lalu.
Penetapan sasaran jumlah keseluruhan pingat turut mengambil kira nasihat dan saranan barisan pakar Nippon Sports Science University (NSSU), Jepun.
“Penetapan sasaran pingat emas memberikan tekanan berlebihan kepada atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik di temasya sukan antarabangsa nanti.
“Pendekatan seperti ini juga merupakan amalan yang telah lama dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Korea, Iran, Singapura dan Hong Kong,” katanya.
Hannah turut memaklumkan sasaran akhir pingat bakal ditentukan secara bersama oleh KBS, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan.
“Sasaran akhir pingat akan ditentukan secara bersama oleh kementerian, MSN, persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan MOM dengan tarikh pendaftaran akhir atlet untuk acara masih terbuka sehingga September 2025,” ujarnya.
Beberapa acara dijangka menjadi penyumbang pingat utama Malaysia seperti boling, menembak, memanah, hoki, terjun dan skuasy.
Temasya Sukan SEA 2025 bakal diadakan di Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini.