Pemain warisan Malaysia, Kobe Chong memberi bayangan akan tiba di Malaysia Jun ini.
Tonggak berusia 25 tahun itu seringkali menjadi bualan hangat selepas beliau dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Malaysia.
Beliau memiliki pengalaman yang cukup luas dalam kancah bola sepak Eropah apabila pernah berada dalam skuad muda kelab Itali, Cagliari CF.
Kobe Chong kini beraksi bersama kelab England, King’s Lynn di National League South (Divisyen 6) setelah tamat pinjaman bersama Kettering Town.
Bekas bintang Peterborough ini berdepan saingan sengit untuk mendapatkan tempat beraksi di Eropah dengan khidmatnya seringkali ditagih untuk memperkuat Harimau Malaya.
Menerusi satu perkongsian di laman sosialnya, beliau memberi bayangan akan terbang ke Malaysia dalam beberapa minggu lagi.
“Jumpa anda beberapa minggu lagi,” ujarnya di laman Frfuturetalents beserta emoticon Malaysia.
Menurut laman Transfermarkt, kontrak Kobe bersama King’s Lynn akan tamat pada 30 Mei 2024 sekaligus menguatkan lagi langkahnya ke Malaysia.
Seorang lagi pemain yang digembar-gemburkan akan mewakili Harimau Malaya ialah perancang tengah St Louis City 2, Wan Kuzain dalam masa terdekat.