Usahawan dan pengasas jenama baju Melayu popular tempatan, El Azman memberi bayangan bahawa pemain JDT, Arif Aiman bakal menjadi model baharunya.
Tonggak berusia 23 tahun itu merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam kancah bola sepak tempatan selepas muncul Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia sebanyak tiga kali.
Beliau juga merupakan hero kepada skuad kebangsaan Harimau Malaya terutamanya ketika membantu Malaysia beraksi di Piala Asia 2023, Qatar.
Baru-baru ini, El Azman telah memuat naik satu hantaran di laman Instagram ketika beliau menghubungi Arif Aiman menerusi satu panggilan video.
Peminat bagaimanapun menjangkakan akan ada kolaborasi antara dua pihak ini menerusi kata-kata oleh El Azman di ruangan komen.
“Semoga berjaya Arif Aiman lawan Buriram United.
“Jumpa nanti,” ujarnya menerusi satu hantaran.
Elrah Exclusive telah menampilkan beberapa nama besar dalam industri sama ada dalam atau luar negara.
Ini termasuklah kemunculan beberapa atlet tinju terkemuka di Asia seperti Tawachai dan juga Rodtang Jimungnon.
Kehadiran Arif Aiman buat kali pertama membarisi muka depan Elrah ini dijangka memberikan nafas baharu bagi kempen raya tahun 2025.