Perbezaan gaji yang diterima oleh bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Tano Solari ketika bersama pasukan dan kelab baharunya dikatakan amat besar.
Perkara ini dikongsikan oleh Pemilik Kelab JDT, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menjawab persoalan penyokong dalam satu sesi soal jawab baru-baru ini.
Baginda telah membuat keputusan untuk tidak mengekalkan khidmat jurulatih berusia 45 tahun itu dan mengembalikan semula Hector Bidoglio selaku pengendali pasukan.
Hal ini disebabkan permintaan gaji yang terlalu besar telah diletakkan oleh Solari yang di luar kemampuan kelab sekali gus khidmatnya tidak dikekalkan.
“Saya juga tidak menyambung kontrak Tano Solari kerana ketika itu, gajinya RM400 ribu lebih setahun. Akan tetapi, dia minta saya sampai RM1.5 Juta setahun.
Tunku Ismail turut memberitahu bahawa keputusan Solari untuk ke kelab lain menyaksikan tangga yang perlu diterimanya adalah lebih rendah berbanding di JDT.
Solari menyertai kelab Chile, CD Everton namun kini membawa haluan ke Godoy Cruz di Argentina.
“Saya bagitahu dia yang kelab tak mampu bayar, sebab itu dia pergi. Akhir sekali, dia pergi ke kelab yang bayar gajinya kurang RM200 ribu,” ujar baginda di laman Johor Southern Tigers.
Tunku Ismail juga melihat bahawa faktor keharmonian bilik persalinan menyebabkan JDT perlu membawa pengganti baharu yang lebih berpengalaman.
“Masa kita terpaksa tamatkan perkhidmatan ketua jurulatih, Tano Solari, kita perlu mengambil orang yang boleh menjaga kestabilan pasukan,” tambahnya.