Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Korea Selatan, Jürgen Klinsmann kembali meninggalkan kem pasukan untuk terbang ke Eropah.
Pengendali kelahiran Jerman itu melalui detik yang cukup sukar untuk mendapatkan rentak buat gergasi Asia itu setelah meraih hanya satu kemenangan dalam 6 aksi di sana.
Beliau juga menerima pelbagai kritikan kerana seringkali tidak berada di Korea Selatan dan lebih memilih untuk menjalinkan hubungan dengan kelab di Eropah.
Menerusi satu kenyataan oleh media Korea, jurulatih berusia 58 tahun itu kini sekali lagi meninggalkan Korea selepas beberapa hari tiba di sana dan hanya akan pulang pada hujung bulan ini.
Beliau sebelum ini pernah mempersoalkan keputusan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) yang tidak membenarkannya untuk menonton satu perlawanan melibatkan aksi Bayern Munich.
Klinsmann dikritik kerana sering meninggalkan pasukannya untuk ke luar negara namun beliau memiliki jawapan tersendiri.
Klinsmann berkata, “Tinggal di Korea sahaja adalah tidak cekap. Apabila tiada apa yang boleh dilakukan di Seoul, adalah lebih baik untuk bertemu orang di Eropah.”
“Ini adalah satu-satunya cara untuk membangunkan bola sepak Korea. Jika anda tidak menyukainya, cari sahaja pengurus lain. saya tak kisah,” jelasnya menurut laman Sports Chosun.
Perkara ini bakal menimbulkan pelbagai reaksi terutamanya dalam kalangan penyokong apabila beliau diharap dapat mencungkil lebih ramai bakat muda di Liga Korea.
Malaysia akan berdepan Korea Selatan pada 25 Januari 2024 bagi aksi Kumpulan E di Qatar, tahun hadapan.