Prestasi baik Antony bersama Real Betis belum cukup untuk menyakinkan jurulatih Brazil, Dorival Junior.
Ini selepas jurulatih berusia 62 tahun itu memilih menyisihkan namanya daripada senarai pemain Brazil untuk aksi kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan pada Mac ini.
Antara nama yang dipanggil Dorival kali ini ialah Vinicius Jr, Raphinha, Rodrygo, Savinho, Estevao dan Joao Pedro.
Vinicius dan Raphinha terus menjadi pilihan kerana kedua-duanya masing-masing konsisten bersama Real Madrid dan Barcelona.
Vinicius sudah menjaringkan 17 gol dalam 36 perlawanan semua kejohanan setakat ini. Raphinha pula terus menjadi ayam tambatan Hansi Flick dengan meledakkan 25 gol daripada 40 perlawanan semua kejohanan.
Meskipun namanya tersisih daripada panggilan skuad Selecao, Antony mampu kembali sekiranya meneruskan prestasi cemerlang bersama Real Betis.
Selepas menyertai Betis secara pinjaman dari Manchester United, beliau merekodkan lapan perlawanan, tiga gol dan tiga bantuan gol.
Situasi ini turut mendorong pengurusan kelab La Liga itu untuk menimbang kemungkinan untuk mendapatkan Antony secara tetap pada musim panas 2025.