Pemain sayap Brazil, Antony semakin menyerlah selepas meninggalkan Manchester United secara pinjaman baru-baru ini.
Sejak menyertai kelab La Liga, Real Betis dalam tetingkap perpindahan Januari lalu, pemain sayap berusia 24 tahun itu mempamerkan impak segera di Stadium Benito Villamarin.
Terbaru, Antony membantu Los Verdiblancos menewaskan KAA Gent 3-0 dalam Liga Konferens Europa UEFA (UECL). Selain beliau, Cedric Bakambu dan Sergi Altimira turut mencipta nama sebagai penjaring.
Betis dijangka mempertahankan kelebihan tiga gol untuk aksi timbal balik play-off pada 21 Februari. Sekiranya itu berjaya direalisasikan, pasukan itu akan mara ke pusingan 16 terbaik UECL.
Antony kini sudah merekodkan dua gol dan satu bantuan gol bersama pasukan yang berpangkalan di Andalusia, Sepanyol itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Betis, Ramon Alarcon tidak menolak menjadikan Antony sebagai pemain tetap pasukan itu untuk musim 2025/26.
‘Saya fikir begitu. Pada hari sebelumnya, CEO United (Omar Berrada) menghubungi saya. Kita menghantar semua pergerakan maklumat pemain sepanjang minggu supaya mereka dapat lihat bahawa kita menjaga aset mereka.
“(Kita) ada hubungan baik dengan Manchester (United) dan pemain. Jika ada kemungkinan beliau kekal di sini musim hadapan, kenapa tidak,” katanya seperti dilaporkan Daily Mail.
Walau bagaimanapun, perpindahan pinjaman Antony tidak mengandungi klausa perpindahan tetap – klausa yang wujud dalam perpindahan pinjaman seorang lagi pemain iaitu Marcus Rashford.
Justeru, Betis dan United perlu mengadakan rundingan bagi menetapkan yuran perpindahan yang sesuai sekiranya mahu Antony kekal di Stadium Benito Villamarin.