Jurulatih kelahiran Eropah membuka mata dan memberi pujian menggunung terhadap kualiti yang dimiliki oleh Liga Malaysia ketika ini.
Perkara itu membuka matanya selepas melihat aksi tak mengenal erti penat yang dipamerkan oleh anak didik Kim Pan-gon pada aksi terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Chinese Taipei.
Menerusi satu kenyataan oleh Ketua Jurulatih Chinese Taipei, Gary White, beliau telah mengesan jurang yang ketara antara pasukannya ketika menentang Harimau Malaya.
Perkara ini termasuklah intensiti yang dipamerkan oleh skuad kebangsaan ketika mencatat kemenangan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tempoh hari.
“Para pemain kami perlu beraksi pada liga yang lebih baik seperti di Liga Malaysia. Kamu boleh lihat sekitar minit ke-70 hingga 75, pasukan kami sudah tidak boleh beraksi. Ini disebabkan intensiti dalam liga.
“Dalam liga kami, mungkin pemain berlari sekitar 7.5 km setiap perlawanan tetapi dalam aksi ini kita perlu membuat mereka berlari lebih 4 km.
“Kita tidak boleh memastikannya dalam 10 hari latihan pusat. Kita mahu memastikan kualiti Liga Malaysia meningkat,” jelasnya selepas tamat perlawanan.
Pengendali kelahiran England itu juga mahu mengikuti pendekatan Malaysia yang berjaya memperoleh pemain untuk mewakili Harimau Malaya dari serata dunia.
“Ia sebahagian daripada perancangan untuk mengambil pemain warisan. Ramai pemain beraksi di US dan Jepun. Kita dalam fasa untuk mengikut jejak langkah Malaysia kerana kita perlukan pemain berkualiti.
“Kita dah mencari pemain serata dunia dan beberapa pemain akan datang pada bulan September,” jelasnya.