Seorang jurulatih kelahiran England difahamkan bakal menyertai revolusi Harimau Malaya.
Baru-baru ini, pasukan kebangsaan kehilangan sentuhan jurulatih muda kelahiran Australia, Mark Milligan yang kembali ke negara asalnya.
Hal ini selepas beliau bersetuju untuk menerima jawatan selaku ketua jurulatih Newcastle Jets yang baharu sekali gus hanya kekal di Malaysia selama dua bulan.
Khabar angin mengenai pengganti Mark sudah mula hangat diperkatakan termasuklah beberapa calon yang berpotensi untuk membantu pasukan negara.
Laporan daripada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom memaklumkan bahawa Harimau Malaya bakal menerima sentuhan seorang jurulatih kelahiran England yang juga bekas pemain di Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Difahamkan pengendali kelahiran England, yang juga bekas pemain Everton bakal ganti Mark Milligan.
“Pengendali ini bakal mulakan tugas menjelang aksi persahabatan Malaysia menentang Cape Verde hujung bulan ini selain turut menjadi perantara dengan skuad B-23 agar pembentukan pemain negara seiring,” ujarnya di laman X.
Setakat ini, masih tiada pengumuman rasmi berkenaan calon yang bakal menggantikan posisi Mark Milligan berdasarkan kriteria yang dinyatakan.
Antara nama yang dikaitkan dengan posisi tersebut ialah Joleon Lescott, Tony Hibbert, Leon Osman, Wayne Rooney dan juga David Unsworth untuk menjadi pembantu kepada ketua jurulatih, Peter Cklamovski.