Jurulatih India mula merasa gerun dengan melabel Malaysia selaku pasukan terbaik dalam Balang 2 Kelayakan Piala Asia 2027.
Jurulatih kelahiran Sepanyol, Manolo Marquez menganggap aksi menentang Harimau Malaya amat penting buat anak buahnya menambah baik prestasi semasa.
India mengharungi 11 aksi tanpa kemenangan tetapi berharap agar dapat menamatkan rentetan tersebut menentang anak buah Pau Marti di Hyderabad.
Beliau juga tidak mahu menjadikan ranking sebagai ukuran dan tidak mengambil mudah mana-mana perlawanan yang diharungi.
“Pada saya ranking adalah satu penipuan. Pasukan tercorot dari Afrika adalah lebih baik dari benua lain. Kita bukanlah pasukan yang lebih baik dari Cyprus. Ada juga pasukan atas kita yang India boleh kalahkan dengan mudah.
“Jika kamu menang satu perlawanan maka kedudukan akan naik, begitu juga sebaliknya. Pada saya, Mauritius lebih rendah dan Vietnam lebih tinggi tetapi saya melihat kemampuannya adalah sama,” jelasnya.
“Ia bukanlah soal ranking kerana India dan Malaysia tidak jauh. Menentang pasukan yang setanding dengan kita seperti Malaysia boleh membantu kita untuk mengenal pasti setiap kekuatan dan kelemahan pasukan.
Manolo Marquez juga berharap agar anak buahnya dapat menunjukkan segala penambahbaikan yang sudah diusahakan dalam sesi latihan sejak beberapa hari lalu.
“Perlawanan persahabatan tetapi aksi bagus untuk mengukur kemampuan kita dengan pasukan terbaik dalam Balang 2 (Kelayakan Piala Asia 2027).
“Kita (India) mahukan kemenangan selepas sudah lama tidak memperolehinya. Saya lebih gemar memenangi aksi sebenar (bukan persahabatan) tetapi kami mahu menunjukkan penambahbaikan yang sudah dilakukan,” katanya pada sesi sidang media pra-perlawanan.
Aksi menentang Malaysia akan berlangsung pada jam 10 malam di Hyderabad, 18 November ini.