Jurulatih Korea Selatan Bakal Ikut Teladan Kim Pan-gon
MakanBola
FA Malaysia
Sponsors

Jurulatih baru Korea Selatan, Hong Myung-bo bakal mengikut teladan yang dipamerkan bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Ini selepas legenda Korea Selatan itu bakal membawa beberapa staf kejurulatihan dari Eropah bagi membantunya mengendalikan pasukan gergasi Asia itu.

Ad
Sponsors

Myung-bo dilihat mengikut jejak langkah Pan-gon yang memilih pendekatan sama semasa bergelar jurulatih Harimau Malaya dari 2022 hingga 2024.

Ad

Bekas pengendali Hong Kong itu membawa masuk bekas jurulatih Barcelona B dari Sepanyol, Pau Marti Vicente sebagai penolong jurulatih.

Gandingan Pan-gon dan Pau Marti membantu Malaysia bukan saja berada dalam kelompok 130 pasukan terbaik dunia mengikut ranking FIFA. Malah, gandingan ini juga membantu Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh lebih 40 tahun.

Ad

Pau Marti kemudiannya dipilih sebagai pemangku jurulatih Harimau Malaya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila Pan-gon meletak jawatan pada 16 Julai lalu. Jurulatih berusia 55 tahun itu sah menyertai juara K-League 1 musim 2023, Ulsan HD pada 28 Julai lalu.

Ad

Kini, Myung-bo mendedahkan beliau dalam proses membawa masuk beberapa staf kejurulatihan untuk skuad kebangsaan Korea Selatan. Beliau percaya kehadiran mereka akan memberi manfaat besar kepada Pahlawan Taeguk.

Ad

“Saya telah adakan tiga sesi temu duga. Ini adalah mesyuarat yang bermakna. Saya dapat belajar banyak hanya dengan bercakap dengan jurulatih-jurulatih ini dan belajar bagaimana trend terbaru berlaku di Eropah dari segi pembangunan kakitangan. Perbincangan sedang berlangsung.

“Jika kita tidak boleh lantik staf yang saya pilih sebagai pilihan pertama, kita akan pergi ke calon seterusnya. Setakat ini, perbincangan lancar (dengan para jurulatih) menunjukkan minat.

“Tiada apa yang telah diputuskan, jadi saya tidak boleh mengumumkan apa-apa lagi. Jika kita boleh membawa mereka ke sini, ia akan jadi satu perkara hebat buat pasukan dan pemain-pemain kita,” katanya dalam satu sidang media seperti yang dilaporkan wartawan sukan Korea Selatan, Steve Han.

Myung-bo bakal mengemudi Korea Selatan untuk aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung pada September ini. Pahlawan Taeguk bakal berdepan Palestin pada 5 September ini.