Jurulatih Maghribi Persoal Gol Kontroversi Perancis
MakanBola
Équipe de Maroc / Équipe de France

Jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi mendakwa beberapa pemainnya terhenti seketika kerana menyangka berlaku insiden bola terkena tangan (handball) sebelum jaringan pertama Perancis dalam aksi suku akhir Piala Dunia.

Maghribi akhirnya tewas 0-2 kepada Perancis, namun Ouahbi mempersoalkan situasi yang berlaku sebelum jaringan Kylian Mbappé apabila beberapa pemainnya hilang fokus selepas menyangka terdapat pelanggaran.

“Beberapa pemain berhenti kerana menyangka berlaku handball. Dan memang terdapat sentuhan bola pada tangan tetapi saya tidak pasti sama ada ia sepatutnya diberikan sebagai kesalahan atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun, Ouahbi mengakui jaringan tersebut tetap berpunca daripada kualiti individu Mbappe yang berjaya mencipta perbezaan untuk Perancis.

“Pada akhirnya, ia adalah usaha individu daripada Kylian Mbappé yang membawa kepada jaringan tersebut,” tambahnya.

Jurulatih Maghribi itu turut menerima hakikat bahawa pasukannya berdepan cabaran besar untuk menandingi kekuatan Perancis yang memiliki ramai pemain berkualiti di setiap posisi.

“Kami tahu mereka boleh menjaringkan gol lebih awal. Kami berharap dapat bertahan lebih lama tanpa dibolosi untuk melihat bagaimana Perancis akan bertindak balas,” katanya.

Kenyataan Ouahbi turut disokong dengan rakaman yang dikongsikan wartawan Luiz Carlos Lago menerusi platform X, yang memaparkan detik sebelum jaringan pertama Perancis.

Maghribi tewas kepada Perancis dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Kylian Mbappé dan Ousmane Dembele.

Kekalahan tersebut menyaksikan Maghribi gagal mengulangi pencapaian bersejarah Piala Dunia 2022 apabila mereka menjadi pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir namun perjalanan mereka kali ini tetap mendapat pujian.