Raja Isa mencipta sejarah baharu apabila menjadi jurulatih Malaysia pertama yang berjaya membawa pasukan Brunei, Indera SC mara ke final Piala FA Brunei 2024.
Indera SC menempah slot ke final selepas menewaskan MS ABDB 7-3 secara agregat di separuh akhir dam menambah keyakinan terhadap keupayaan taktikal yang dibawa jurulatih berusia 58 tahun itu.
Kejayaan ini turut memperkukuh reputasi Raja Isa yang kini mengendalikan kelab ke-11 sepanjang karier kejurulatihannya yang melibatkan Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan kini di Brunei.
Antara pasukan yang pernah dibimbing beliau termasuk Muktijoddha SKC (Bangladesh), Persipura Jayapura, PSM Makassar dan PSMS Medan di Indonesia, selain pernah membimbing pasukan belia Selangor pada awal kerjaya.
“Dengan pengalaman luas bersama sepuluh kelab sebelum ini, Coach Raja membawa ilmu, semangat dan kepimpinan yang luar biasa kepada pasukan kami,” kata kenyataan rasmi Indera SC dalam media sosial mereka.
Kelab tersebut turut menyatakan bahawa Raja Isa kini sedang membina sesuatu yang istimewa bersama skuad muda mereka dan percaya beliau mampu membawa kelab itu mencipta pencapaian terbaik musim ini.
Perjalanan Raja Isa bersama Indera SC bukan sahaja membanggakan, tetapi membuktikan kemampuan jurulatih Malaysia untuk bersaing dan berjaya di pentas antarabangsa jika diberi kepercayaan.
Final Piala FA Brunei bakal menjadi pentas penting buat Raja Isa untuk mengukuhkan lagi namanya sebagai antara jurulatih tempatan paling berpengaruh di luar negara.
Indera SC dijadualkan menentang DPMM FC dalam aksi final Piala FA Brunei pada 25 Mei ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dengan sepak mula perlawanan tepat 8:15 malam.