Sebab ketiadaan Nguyen Xuan Son untuk aksi Shopee Cup antara Thep Xanh Nam Dinh FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 5 Februari lalu akhirnya terjawab.
Sebelum ini, ramai penyokong tertanya-tanya ketiadaan penyerang berdarah Brazil itu dalam kesebelasan utama Nam Dinh.
Jurulatih pasukan itu, Mauro Jeronimo kemudiannya memaklumkan nama penyerang berbisa Vietnam itu tidak disenaraikan atas sebab taktikal.
Sebelum aksi menentang JDT, bekas penyerang Naestved BK itu telah mengutip dua kad kuning dalam saingan Shopee Cup.
Jeronimo tidak mahu jika Xuan Son mengutip satu lagi kad kuning dalam aksi itu, beliau tidak akan dapat diturunkan untuk aksi pertama separuh akhir kejohanan itu.
“Xuan Son telah mendapat dua kad kuning dalam (aksi) peringkat kumpulan. Jika beliau mendapat satu lagi kad, beliau akan tidak boleh beraksi dalam aksi separuh akhir pertama.
“Justeru, kelab mengambil pilihan yang paling selamat,” katanya seperti dilaporkan portal TheThao247.
Penjelasan jurulatih Portugal itu dilihat memberi kelegaan bukan saja kepada peminat Nam Dinh tetapi juga peminat Vietnam.
Ini kerana ketiadaan Xuan Son dilihat lebih kepada percaturan taktikal Jeronimo dan bukan kerana masalah kecederaan.
Nam Dinh mara ke separuh akhir Shopee Cup selaku juara Kumpulan B. Ini selepas pasukan itu seri 1-1 dengan JDT dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Thien Truong.
Juara V. League 1 itu akan berdepan Selangor FC di peringkat separuh akhir. Aksi itu akan berlangsung pada 6 dan 13 Mei ini.