Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva terus mengekori rapat Nguyen Xuan Son untuk perebutan penjaring terbanyak Shopee Cup.
Selepas aksi terbaru kejohanan itu pada 28 dan 29 Januari lalu, Xuan Son muncul penjaring terbanyak dengan tujuh gol.
Ini termasuk dua gol untuk Thep Xanh Nam DInh ketika menentang Lion City Sailors (LCS) dalam aksi terbaru Kumpulan B.
Bergson yang juga penjaring terbanyak sepanjang Liga Super terus mengekori rapat dengan lima gol. Dua gol itu direkodkan dalam aksi Kumpulan A antara JDT dan Shan United.
Bergson berkongsi kedudukan kedua dengan penyerang Tampines Rovers dari Jepun, Hide Higashikawa.
Penyerang berbisa Buriram United, Guilherme Bissoli di tangga keempat dengan empat gol. Dua pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dan Joao Figueiredo pula berkongsi tempat kelima.
Ini kerana kedua-dua pemain skuad kebangsaan itu menyumbat tiga gol dalam Shopee Cup. Mereka berkongsi kedudukan itu dengan pemain perancang Thailand, Chanathip Songkrasin.
Persaingan Bergson dan Xuan Son dijangka lebih hangat selepas ini. Ini kerana JDT dan Nam Dinh akan bertemu di Stadium Thien Truong untuk aksi terakhir Kumpulan B pada 5 Februari ini.
Pertemuan ini bukan saja bakal menentukan siapa juara dan naib juara kumpulan. Malah, ini memberi peluang buat kedua-dua pemain untuk menambah koleksi gol.