Shopee Cup: JDT Mengganas Tewaskan Shan United
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

JDT menumpaskan pasukan Shan United dengan keputusan 3-0 dalam aksi ke-4 saingan Shopee Cup musim ini di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.

Pasukan tuan rumah, JDT menurunkan Syihan Hazmi di bahagian penjaga gol dengan Jairo da Silva sebagai ayam tambatan pasukan tersebut manakala Shane Lowry menggalas lilitan kapten Harimau Selatan.

Selain itu, kehadiran semula 3 pemain warisan yang kembali mengisi kesebelasan utama JDT selepas menerima pelepasan sementara daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Sementara itu, Shan United membariskan Kyaw Zin Phyo di benteng terakhir dan Moussa Bakayoko mengemudi jentera serangan kelab beliau.

Harimau Selatan melakukan percubaan pada awal babak pertama menerusi Joao Figueiredo dan Jairo da Silva namun gagal menepati sasaran gawang pasukan Shan United.

JDT tampak menguasai 30 minit pertama aksi dengan melakukan beberapa percubaan dan serangan berbahaya ke kubu Shan United tetapi berjaya ditepis oleh penjaga gol, Kyaw Zin Phyo.

Shan United turut melakukan percubaan berbahaya menerusi pertahanan sensasi, Mouricio pada minit ke-30 namun ketangkasan penjaga gol JDT, harus diberi pujian.

JDT hampir membuka akaun jaringan perlawanan pada penghujung separuh masa pertama namun percubaan Joao Figueiredo sedikit tersasar dari gawang pasukan julukan SHUFC.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Bersambung babak kedua aksi, JDT tampak meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol pembukaan aksi.

Harimau Selatan turut melakukan penggantian pemain dengan mengeluarkan Jairo da Silva, Feroz Baharudin & Jon Irazabal dan memasukkan Bergson da Silva, Yago Cesar & Syahmi Safari.

JDT dilihat melancarkan beberapa serangan berbahaya pada awal babak kedua menerusi Syahmi Safari namun masih gagal menembusi gawang Shan United.

Oscar Arribas berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke-65 selepas menerima umpanan cantik dari sepakan penjuru oleh Yago Cesar sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan Harimau Selatan.

Bergson da Silva menambah derita Shan United dengan meledak gol kedua aksi pada minit ke-67 hasil bantuan jaringan oleh Joao Figueiredo.

Bergson sekali lagi merobek gawang pasukan Shan United pada minit ke-71 dengan satu jaringan cantik sekali gus menewaskan penjaga gol Shan United, Kyaw Zin Phyo buat kali kedua.

Syahmi Safari hampir memberikan gol keempat Harimau Selatan menerusi sepakan percuma pada minit ke-78 namun rembatan beliau sedikit tersasar dari gawang pasukan lawan.

Aksi tamat dengan keputusan 3-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, JDT dalam aksi ke-4 saingan Shopee Cup musim ini di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.

Kemenangan ini menyaksikan Harimau Selatan menduduki tangga teratas Kumpulan B selepas memintas wakil Vietnam, Nam Dinh, buat sementara waktu dengan mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan.