Jurulatih kelab Vietnam, Thep Xanh Nam Dinh FC membuat kejutan dengan meletak jawatan tiga hari sebelum perlawanan menentang musuh setempat, Ninh Binh FC.
Jurulatih Portugal, Mauro Jeronimo membuat keputusan itu susulan prestasi tidak menentu yang dihadapi Nam Dinh.
Meskipun berjaya membawa pasukan itu ke separuh akhir Shopee Cup, Nam Dinh gagal merekodkan kemenangan dalam empat aksi terakhir mereka.
Ini termasuk keputusan seri 1-1 dengan pasukan gergasi selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Kumpulan B Shopee Cup.
Susulan itu, Nam Dinh mengumumkan jurulatih Vietnam, Vu Hong Viet sebagai pengganti tetap Jeronimo.
Hong Viet bukan asing dengan penyokong pasukan itu kerana pernah membantu Nam Dinh bergelar juara liga sebanyak dua kali. Beliau dijangka memulakan tugas pada Khamis.
Selain kempen di peringkat domestik, sentuhan Hong Viet ditagih untuk membantu Nam Dinh ke final Shopee Cup.
Nam Dinh akan bertemu satu lagi wakil Malaysia, Selangor FC di peringkat separuh akhir pada 6 dan 13 Mei ini.