Pengendali Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul mengakui barisan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berupaya menggugat usaha anak buahnya meraih bekalan selesa untuk aksi timbal balik di Hiroshima.
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya siapa pemain JDT yang dilihat ancaman utama Sanfrecce dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Gaul melihat semua pemain yang ditampilkan JDT dalam kejohanan itu sebagai berkualiti. Pada masa sama, beliau lebih fokus kepada persembahan anak buahnya.
Ini kerana persembahan mereka dalam aksi pertama pusingan 16 penting demi meraih bekalan selesa dalam aksi timbal balik.
“JDT memiliki ramai pemain hebat tetapi daripada fokus kepada seorang pemain sahaja, perkara paling penting ialah fokus kepada kita sendiri.
“Apa yang paling penting ialah fokus kepada persembahan kita sendiri. Menyerlahkan keyakinan kita menerusi permainan di atas padang amat penting untuk perlawanan esok,” katanya.
Aksi ini disifatkan aksi balas dendam buat JDT. Ini kerana Harimau Selatan tewas 2-1 kepada lawan sama di peringkat ACLE Liga Timur.
JDT akan menentang Sanfrecce di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 4 Mac ini.