Jurulatih Singapura Letak Jawatan Serta-Merta
MakanBola
FA Singapore

Singapura perlu mencari ketua jurulatih baharu yang keempat dalam tempoh enam tahun. Ini selepas Tsutomu Ogura mengumumkan peletakan jawatan sebagai jurulatih pasukan itu.

Keputusan beliau diumumkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam satu kenyataan di platform rasmi mereka.

Ogura meletak jawatan serta-merta sebagai jurulatih The Lions atas sebab peribadi. FAS memaklumkan keputusan itu dinyatakan beliau kepada badan induk tersebut sejak beberapa minggu lalu.

“Meskipun wujud usaha kolektif dan kemahuan untuk mengekalkan hubungan yang wujud, isu peribadi yang timbul menyukarkan beliau untuk meneruskan tugas.

“FAS menghormati keputusan Encik Ogura dan menyatakan penghargaan yang ikhlas atas profesionalisme, komitmen dan sumbangannya kepada bola sepak Singapura sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Kami mengucapkan yang terbaik buat beliau dan keluarganya pada masa hadapan,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

Selepas menggalas tugas pada Februari 2024, Ogura membimbing Singapura mengharungi 16 perlawanan. Beliau merekodkan lima kemenangan, tiga seri dan lapan kekalahan.

Antara pencapaian terbaik Ogura ialah membawa The Lions layak ke peringkat separuh akhir ASEAN Championship 2024.

Tempoh beliau turut menyaksikan Singapura mengalami beberapa kekalahan besar. Ini termasuk kekalahan 7-0 di tangan Korea Selatan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026.

Bekas jurulatih Tampines Rovers, Gavin Lee akan menggalas peranan sebagai jurulatih secara interim. FAS sudah memulakan proses mencari jurulatih baharu yang diharap dapat membawa Singapura ke tahap lebih tinggi.