Baru-baru ini, ramai penyokong Syria terkejut apabila jurulatih pasukan, Hector Cuper menggugurkan kapten dan penyerang utama mereka, Omar Al Somah dari senarai pasukan ke Piala Asia 2023.
Selain menggugurkan Al Somah, bekas pengendali Inter Milan itu turut memanggil tiga pemain warisan Syria iaitu Jalil Elias, Ezequiel Ham dan Ibrahim Hesar.
Lantas, ada penyokong yang menuduh Cuper bersifat pilih kasih dalam soal pemilihan pemain Helang Qasioun.
Tuduhan tersebut dinafikan beliau dalam satu sidang media yang diadakan baru-baru ini. Cuper mengakui Al Somah kecewa dengan keputusan beliau tetapi hubungan mereka masih baik.
Jurulatih Argentina itu turut menegaskan beliau memilih pemain berdasarkan merit termasuk pemain warisan.
Baginya, selagi mana mereka memiliki pasport Syria dan memberi nilai tambah kepada pasukan itu, mereka patut diberi peluang mewakili Syria di peringkat antarabangsa.
“Saya faham kekecewaan yang dialami Omar Al Somah (tentang keputusan pengguguran daripada skuad Syria). Tiada pertelagahan yang berlaku antara saya dan Al Somah semasa separuh masa perlawanan Jepun.
“Saya tidak melihat perbezaan antara pemain tempatan dan pemain warisan. Jika beliau ialah pemain Syria dan memegang pasport Syria, maka pemilihan pasukan dibuat seimbang demi masa depan Syria,” katanya seperti dilaporkan Syria National Team.
Sejak mewakili Syria pada 2012, Al Somah sudah menjaringkan 21 gol dalam 39 penampilan antarabangsa.
Cuper bakal membimbing Helang Qasioun mengharungi aksi pemanas badan menentang Kyrgyzstan pada 5 Januari 2024 sebelum menentang Malaysia pada 8 Januari.
Syria kemudiannya membuka kempen Kumpulan B dengan menentang Uzbekistan pada 13 Januari di Stadium Jassim bin Hamad, Al-Rayyan, Qatar.